PAS sedia jadi orang tengah di Aleppo

SHAH ALAM- PAS bersedia menjadi orang tengah melalui kedudukan Presiden PAS sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia untuk membuka ruang kepada kerajaan Malaysia berunding dengan negara-negara Islam lain bagi menyelesaikan isu Syria.
 
Menurut Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, apa yang berlaku di Aleppo adalah melibatkan pakatan antara negara-negara Arab dan barat untuk menjatuhkan kerajaan yang sah dengan mengangkat senjata sejak lebih lima tahun lalu perlu ditangani segera agar keselamatan orang awam terjamin.
 
“Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajar mengambil tanggungjawab membantu, menggunakan kuasa dan pengaruh demi kebaikan rakyat Syria. Kepentingan orang ramai dan umat Islam hendaklah menjadi prioriti utama dalam menangani kes Syria, dan juga krisis dan konflik di seluruh dunia Arab yang berpunca daripada kebangkitan dikenali Arab Spring.
 
“Dalam usaha ke arah mencari penyelesaian, PAS bersedia untuk membantu menjadi orang tengah melalui kedudukan Presiden PAS sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia untuk membuka ruang kepada kerajaan Malaysia berunding dengan negara-negara Islam lain bagi menyelesaikan isu Syria,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
 
Wilayah Aleppo yang dikuasai pihak pemberontak telah berjaya dirampas semula oleh tentera kerajaan Syria sejak melancarkan serangan besar-besaran bulan lalu.
 
Al Jazeera melaporkan kebanyakkan penduduk awam Aleppo menuntut perlindungan antarabangsa kerana khuatir dengan operasi mengesan pihak pemberontak oleh tentera Syria dan Russia. 
 
Nik Abduh turut berkata Presiden Bashar wajar bertanggung jawab atas krisis kemanusiaan yang telah berlanjutan sejak lima tahun lalu.
 
“Pemerintah pimpinan Presiden Bashar al-Assad wajib bertanggungjawab ke atas tindakan yang membawa kepada bencana kemanusiaan yang disaksikan pada masa ini. DPPM menggesa proses politik dalaman yang demokratik dilaksanakan selepas keadaan kembali reda,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*