Saham FGV terus merudum, nasib peneroka Felda semakin malap – PAS

SHAH ALAM – Sejak pelancaran Felda Global Ventures (FGV) pada 2012 di Bursa Malaysia pada harga RM4.45 sesaham, nilai saham FGV terus merudum sehingga RM1.68 pada Jumaat lepas meletakkan nasib peneroka Felda dalam keadaan malap.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini melahirkan kekesalan di atas salah tadbir pengurusan FGV sehingga menyebabkan kerugian syarikat itu sehingga merugikan golongan peneroka.

 

“Masalah FGV tidak lain tidak bukan berpunca daripada kelemahan pengurusan dan juga harga minyak sawit yang rendah.

 

“Bagi peneroka Felda biasa, amat susah untuk mereka fahami bagaimana boleh berlakunya penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi, sebuah anak syarikat yang dimiliki 50% saham oleh FGV di Turki, yang mengalami kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.

 

“Penyelewengan tersebut itu menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September melebar daripada RM33.9 juta tahun yang lalu ke RM94.86 juta tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Dato’ Tuan Ibrahim saham FGV boleh dikategorikan sebagai saham berprestasi buruk dalam sektor pertanian.

 

“Prestasi Felda selepas Tan Sri Isa Samad sejak menjawat Presiden amat tidak menyakinkan peneroka.

 

Felda bukan sahaja berdepan dengan penyelewengan di bawah Tan Sri Isa, ia juga berdepan dengan pengurangan hasil akibat profil usia pokok sawit yang tua, kegagalan merancang penanaman semula yang berkesan dan kelemahan pemantauan terhadap prestasi anak-anak syarikat,” tambah beliau.

 

Dengan suasana ekonomi semakin mencabar, FGV bakal berdepan masa mencabar pada 2017. Nasib Felda juga dilihat semakin malap jika tiada sebarang penambahbaikan yang konkrit dilakukan untuk menukar nasib FGV.

 

“Bertambahnya projek perumahan generasi kedua Felda terbengkalai, semakin ramai peneroka tertanya-tanya akan kesihatan kewangan Felda, apakah ia seperti nilai saham FGV hari ini?

 

“Nasib peneroka dan prestasi FGV bakal menjadi satu isu penentu nasib politik Umno di PRU14,” tambah beliau.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*