PAS siap sedia hadapi PRU

SHAH ALAM- Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS sedang mengkaji dengan mendalam setiap kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang. 
 
“Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, samada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihanraya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Menurut beliau, PAS akan bertindak berdasarkan keputusan Majlis Syura Ulama dan tidak akan bekerjasama dengan dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan PAN.
 
“PAS tidak tertakluk pada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihanraya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya.
 
“PAS akan tetap terus berpegang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini bahawa tiada sebarang kerjasama dalam apa jua bentuk dengan parti DAP dan PAN, dan mana -mana pihak yang bersikap keras terhadap Islam. 
 
Beliau turut mengulangi pendirian PAS yang bersedia membuat perbincangan dengan parti lain sekiranya mereka menghormati prinsip parti Islam itu. 
 
“Di masa yang sama PAS sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar perjuangan PAS,” katanya yang merujuk kepada persefahaman PAS dengan parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan parti Pribumi Bersatu (PPBM).
 
Dalam masa sama, Abdul Hadi turut menemplak pihak yang membuat persepsi songsang dengan menuduh PAS sebagai penerima habuan dari kerajaan Barisan Nasional (BN).
 
“Persepsi songsang yang dibina secara berterusan oleh lawan adalah kononnya PAS telah tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan Barisan Nasional yang ada pada masa kini termasuklah memfitnah PAS menerima habuan “dedak” tertentu. 
 
“PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai PAS,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*