PAS sedia hadapi PRU Mei depan

SHAH ALAM- Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata terdapat banyak petunjuk yang merumuskan bahawa Pilihan Raya Umum yang ke 14 akan berlangsung pada bulan Mei 2017.
 
“Maklumat yang diperolehi dari agensi Kerajaan Persekutuan merupakan satu petunjuk yang kuat bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada bulan tersebut.
 
Menurut Iskandar, BN lazimnya akan melaksanakan pelbagai projek rakyat sekiranya tarikh pembubaran Parlimen bakal tiba.
 
“Kesimpulan dibuat berdasarkan pelaksanaan projek-projek Kerajaan Persekutuan. Pada lazimnya projek-projek baru akan dilancarkan ketika tempoh kempen pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
 
Terdahulu, Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS sedang mengkaji dengan mendalam setiap kerusi pilihanraya dan tidak akan melakukan kerjasama politik dengan BN.
 
“Persepsi songsang yang dibina secara berterusan oleh lawan adalah kononnya PAS telah tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan Barisan Nasional yang ada pada masa kini termasuklah memfitnah PAS menerima habuan “dedak” tertentu. 
 
Sementara itu, Iskandar yang juga merupakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Selangor yakin PAS adalah parti utama yang dapat menggugat kedudukan Umno yang mengetuai BN.
 
“Memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa bahawa PAS adalah di antara pembangkang yang terkuat dengan jentera pilihan raya yang mantap. 
 
PAS menguasai Negeri Kelantan. Ia juga memiliki kerusi yang banyak di Kedah dan Terengganu dengan harapan yang cerah untuk merampas pentadbiran negeri-negeri tersebut. Di Selangor pula, PAS adalah sebahagian dari kerajaan negeri,” katanya lagi.
 
Iskandar menegaskan ahli PAS kini berada di haluan yang sama disamping menafikan khabar angin mengenai perpecahan dikalangan pimpinan parti Islam itu.
 
“Perpaduan di kalangan ahli-ahli PAS berada di dalam keadaan yang mantap setelah pimpinan yang kalah pada pemilihan 2014 menubuhkan Parti Amanah Negara atau PAN. Pimpinan dan ahli-ahli hari ini berada di dalam haluan yang sama.
 
“Memang terdapat anasir-anasir luaran yang cuba memberi gambaran terdapat perpecahan di kalangan pimpinan tertinggi. Atau terdapat mereka yang sedang cuba melaga-lagakan pimpinan. Tetapi ahli-ahli telah cukup matang dan tidak mungkin termakan dengan umpan tersebut,” katanya.
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*