Loji Rawatan Air Sungai Selangor mula beroperasi kelmarin, bekalan hampir pulih 100 peratus di semua kawasan

SHAH ALAM – Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 yang dihentikan tugas sementara ekoran kerja-kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong telah memulakan operasi kembali sejak 1.30 pagi 20 Disember.

Sehingga pukul 7 pagi hari ini bekalan air telah kembali pulih 100 peratus di zon 1 manakala zon dua mencapai 99.5 peratus.

 

Menurut Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib, kerajaan negeri telah bermesyuarat semalam bagi mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut.

 

“Dalam usaha untuk menyegerakan pemulihan bekalan air kepada pengguna, Air Selangor telah membuat Pengagihan Secara Berjadual yang dilaksanakan mulai 19 sehingga 24 Disember 2016 mengikut 2 zon sebagaimana yang dinyatakan di dalam portal SYABAS, www.syabas.com.my.

 

“Pengagihan Secara Berjadual mengikut 2 zon ini dilaksanakan bagi tujuan untuk membolehkan pengguna dapat membuat perancangan simpanan bekalan air yang mencukupi sehingga pemulihan sepenuhnya dicapai,” katanya dalam satu kenyataan kepada Merahkuning.com semalam.

 

Zaidy yang juga merupakan Bendahari Kehormat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor turut memuji kesungguhan yang ditunjukkan pihak Air Selangor yang bertungkus lumus selama 24 jam untuk memulihkan bekalan air lebih cepat dari tempoh yang dijangka.

 

“Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan memahami keperluan penggunaan air semasa musim perayaan Krismas dan cuti sekolah ini. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan segala gangguan bekalan air ini dapat diselesaikan sebelum 24 Disember 2016,” tambah Zaidy

 

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat hari ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*