Tok Guru wakili PAS ke Tehran, perjelas isu sebenar Syria

SHAH ALAM- Penglibatan Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah di Tehran yang dianjurkan oleh Lembaga Taqrib Mazhab Antarabangsa adalah atas kapasiti Presiden PAS dan bukannya mewakili Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS). 
 
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali, kehadiran Abdul Hadi ke muktamar kali ke 30 tersebut adalah sebagai pembentang yang menyeru kepada kesatuan umat serta menolak campur tangan kuasa asing dalam urusan negara-negara Arab. 
 
Menurutnya lagi, PAS sedar tentang isu kezaliman yang berlaku di Aleppo dan menegaskan pendirian parti itu adalah bersama-sama seluruh umat Islam dalam menentang sebarang bentuk kezaliman dan pencerobohan hak asasi manusia.
 
“Pendirian tersebut sama sekali tidak akur atau tunduk kepada sebarang kepentingan mana-mana pihak yang melakukan kezaliman dan penindasan. Malah PAS sentiasa bersuara lantang bersemuka dengan golongan yang zalim dan menindas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
 
Khairuddin berkata, penyertaan Presiden PAS ke muktamar tersebut bermula seawal tahun 80’an lagi dan ia turut disertai beberapa pertubuhan Islam antarabangsa lain seperti Hamas.  
 
Merujuk kepada isu semasa, beliau berkata walaupun PAS menentang pembunuhan orang awam di Aleppo, namun PAS berpendirian krisis di Syria adalah peperangan proksi oleh kuasa barat yang disokong oleh media-media antarabangsa.
 
Terdahulu, Abdul Hadi dalam satu kenyataan berkata dalang yang menyebabkan ketidakstabilan di Syria dan beberapa negara teluk lain adalah berpunca dari provokasi pihak luar yang bermain dengan krisis geopolitik. 
 
“Apa yang membakar bumi Aleppo dan menjadi berita hangat terkini terdengar laksana pencuri memekik perkataan “pencuri” di tengah suara orang yang mengejarnya di waktu malam gelap, memudahkan pencuri sebenar melepaskan diri sambil melaungkan perkataan pencuri,” katanya.
 
Menurutnya lagi, beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini termasuk krisis Rusia dan Ukraine telah merubah rancangan pihak barat yang membiayai kumpulan militan ISIS bagi menjatuhkan pemimpin negara-negara Arab. 
 
“Keadaan bertukar kepada ketegangan yang memberi tempat kepada Rusia bertapak di Tarsus Syria menjadi pangkalan tentera Rusia, satu-satunya ruang ke laut lepas.
 
“Keadaan ini mengubah neraca politik dan ketenteraan yang melemahkan barat yang melindungi ISIS dan kumpulannya,” menurutnya.
 
Kenyataan itu turut diulangi Khairuddin yang menegaskan perkara sama.
 
“Kuasa asing tersebutlah yang berdiri di belakang tabir kumpulan pengganas yang dibiayai dengan kewangan yang besar dan senjata pemusnah, seumpama ISIS yang merosakkan nama baik Islam yang sebenar,” katanya.
 
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak termakan dengan propaganda serta persepsi yang cuba dicipta media antarabangsa bagi mengawal pandangan umum. 
 
“Barangkali mereka yang mengecam penglibatan Tuan Guru Hj Abdul Hadi dalam muktamar terbabit tidak menyedari permainan dan fitnah media massa dan media sosial moden yang menghiasi kebatilan dengan kebenaran dan menukar kebenaran menjadi kepalsuan, yang menular dalamnya pelbagai sangkaan dan persepsi sedang “persepsi itu sedikit pun tidak boleh menggantikan kebenaran”, katanya.
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*