Kempen PAS Pilihanku bermula tahun depan

KUALA LUMPUR- PAS akan melancarkan kempen ‘PAS Pilhanku’ yang akan bermula dari 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017 dalam usaha mempromosikan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Naib Presiden PAS selaku Pengarah Kempen ‘PAS Pilihanku’, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata kempen tersebut bertujuan menggalakkan jentera PAS peringkat negeri dan cawangan menambah keahlian mereka.
 
“Sasaran kempen ini adalah pendaftaran seramai 131,226 ahli baru.
 
“Sasaran minima penambahan ahli-ahli baru telah ditetapkan untuk setiap Negeri,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
 
Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata penerimaan orang ramai terhadap parti Islam itu yang telah membawa kepada kempen ini dilancarkan. 
  
“PAS melihat terdapat minat yang tinggi terhadap PAS maka adalah wajar kempen ini dilancarkan agar jentera Parti dapat mendaftarkan mereka-mereka itu,” menurutnya lagi.
 
Iskandar berkata PAS telah menetapkan sasaran penambahan ahli untuk negeri Kedah dengan 25,808 penambahan, Kelantan 18,255 penambahan dan Selangor sebanyak 15,759 penambahan.

 

Menurut beliau pencapaian kempen itu akan dijadikan pertandingan dengan tiga kategori anugerah telah dipersetujui untuk diberi kepada cawangan yang mencatat keputusan terbaik. 

 
Anugerah tersebut merangkumi anugerah bulanan untuk kawasan dengan bilangan penambahan ahli yang teramai, anugerah bilangan penambahan ahli tertinggi dan anugerah keseluruhan kawasan dengan peratusan penambahan ahli yang teramai.
 
Kempen tersebut akan dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 21 Januari depan di Shah Alam.
 
Dalam masa sama, Iskandar berkata semenjak PAS melancarkan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera, parti itu menerima penyertaan yang tinggi untuk menyertai mereka termasuk dikalangan ahli Umno.
 
“PAS melihat terdapat minat yang tinggi terhadap PAS setelah kita lancarkan budaya politik matang dan sejahtera.
 
“Budaya ini berdasarkan memberi solusi bukan konfik dan cetus persepsi, kita bukan sahaja membangkang tapi beri penyelesaian,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*