‘PAN makin celaru’ – Iskandar

SHAH ALAM- Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad mempertahankan kenyataan beliau sebelum ini yang menyifatkan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai tidak amanah kerana ingin bertanding kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk yang dimiliki Parti Keadilan Rakyat (PKR).
 
Iskandar memberi respon terhadap kenyataan Ketua Penerangan PAN, Khalid Samad yang mendakwa parti itu sedang meneliti untuk bertanding di 40 kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk yang dimiliki PKR walaupun berada di dalam Pakatan Harapan (PH).
 
Beliau berkata, PAN tidak sepatutnya mengecam respon beliau yang membidas kenyataan Khalid kerana ia dibuat secara terbuka. 
 
“Kenyataan untuk bertanding di kerusi-kerusi PKR telah dibuat secara terbuka. Maka adalah tidak wajar untuk menghalang sesiapa membuat ulasan kepada satu kenyataan yang dibuat secara terbuka itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
 
“Jika tidak mahu sebarang ulasan terhadap hasrat tersebut maka tidak perlu membuat kenyataan secara terbuka. Bincanglah secara dalaman,” 
 
Menurut Iskandar, selain mengelirukan rakyat, PAN turut menyerlahkan kecelaruan apabila pemimpin mereka membuat kenyataan yang bercanggah berkaitan PRU 14 akan datang.
 
“Tetapi rakyat sekarang menjadi semakin keliru apabila seorang lagi pemimpin tertinggi PAN yang telah membuat kenyataan balas iaitu PAN tidak akan bertanding di kerusi-kerusi PKR.
 
“Mungkin ia satu tindakan “damage control” tetapi terserlah kecelaruan yang wujud di kalangan kepimpinan tertinggi PAN,” katanya lagi. 
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*