Budaya lapok faktor Azmin letak jawatan Presiden FAS

SHAH ALAM- Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kerana budaya “politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi” dalam FAS yang masih tidak berubah.
 
Beliau yang dilantik sebagai Presiden FAS pada 2014 tidak berpuas hati dengan organisasi bola sepak Selangor itu yang dipalit masalah pengurusan dan kewangan.
 
“Malangnya, setelah hampir dua tahun kami bersama FAS, kami tidak melihat kesediaan Exco FAS untuk mendokong perubahan. Barisan Exco FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
 
Azmin mengulangi kenyataan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin yang mengkritik pengurusan FAS serta mencadangkan pengurusan FAS berundur agar satu pengurusan baharu yang mampu memulihkan organisasi itu dapat dilakukan.
 
Turut meletakkan jawatan adalah Amirudin Shari merangjap Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan Selangor yang menyandang jawatan pengurus pasukan.
 
“Saya dan YB Amirudin Shari mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bolasepak Negeri Selangor,” katanya lagi.
 
Dalam Belanjawan Selangor 2017 baru-baru ini, kerajaan negeri membuat keputusan tidak memberi sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri untuk perbelanjaan FAS pada musim depan.
 
Walaubagaimanapun, Azmin memberi jaminan akan terus memberikan sokongan kepada kemajuan bola sepak Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kerajaan negeri kelak.
 
“Kami memberi jaminan kepada penyokong bolasepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bolasepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*