PAS alukan gencatan senjata di Syria

SHAH ALAM- PAS mengalu-alukan perkembangan terkini proses gencatan senjata di Syria yang dipersetujui di antara Rusia, Iran, dan Turki sebagaimana yang dilaporkan agensi media antarabangsa.
 
Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata proses itu perlu disegerakan bagi menjaga kepentingan awam dan mengelak daripada sebarang sabotaj oleh pihak berkepentingan.
 
“Secara umumnya PAS melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera, kesejahteraan rakyat awam di kembalikan, dan pada masa yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini,” dalam satu kenyataan media, hari ini.
 
Menurut beliau, hasil gencatan senjata ini akan membolehkan isu sebenar di Syria dapat dirungkaikan disamping dapat menghukum mereka yang bertanggungjawab.
 
“Apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara, maka baharulah isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku mestilah disiasat dan diambil langkah konstruktif seterusnya yang bersesuaian dengan protokol undang-undang yang diterima diperingkat antarabangsa.
 
Abdul Hadi turut mengulangi kenyataannya sebelum ini yang mendakwa apa yang berlaku adalah akibat campurtangan kuasa besar dunia dalam mewujudkan ketidakstabilan di Syria bagi menjaga kepentingan Israel.
 
“Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam.
 
“Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan sunni syiah,” katanya lagi.
 
Krisis kemanusiaan di Syria memuncak semenjak kerajaan Syria pentadbiran Bashar al-Assad berjaya menawan semula wilayah Aleppo yang dikuasi pemberontak sejak 2012. 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*