PAS tak halang kerjasama PKR dan PAN

PAS tidak akan menghalang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (PAN) asalkan tidak mengkhianati perjanjian seperti yang dilakukan PAN.
 
“Hubungan dengan di antara PAS dan PKR memang baik, dan PAS tidak akan menyekat kerjasama PKR dan PAN tetapi janganlah bersikap seperti PAN,” kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohamad Amar bin Abdullah (Nik Amar) di Ceramah Mega Anak Muda Pertahan Kelantan pada Khamis.
 
Nik Amar berkata sejarah membuktikan PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian diantara parti itu dengan parti pembangkang lain.
 
“PAS pernah sertai Barisan Nasional tetapi dikhianati, begitu juga dalam Pakatan Rakyat PAS dikeluarkan sehingga kita tiada pilihan selain memutuskan hubungan dengan DAP,” katanya lagi.
 
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengingatkan bahawa tindakan angkuh DAP yang menyerang Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang serta memutuskan hubungan dengan PAS di Sabah dan Sarawak menjadi titik tolak mengakhiri kerjasama diantara PAS dan DAP.
 
“Presiden ni bagaikan Pak (ayah) kita, kalau Pak kita diserang adakah kita akan bersama dengan mereka atau Pak kita?
 
“Duduk bersama dalam Pakatan Rakyat tapi tuduh Pak kita. Ini tidak betul,” katanya di hadapan hadirin.
 
Nik Amar turut menggesa PKR Kelantan menyatakan pendirian tegas untuk bersama-sama kerajaan negeri Kelantan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
 
Dalam masa sama, Nik Amar turut memuji Ketua Penerangan PKR, Chua Tian Chang (Tian Chua) yang mengambil sikap matang yang tidak menyerang PAS sambil menempelak beberapa pimpinan PKR yang sering mengkritik PAS.
 
“Kita nak mereka contohi Tian Chua, saya hormat dia sebab jelas pendirian dia terhadap PAS.
 
“Kita harap semua pimpinan PKR di Kelantan dan di luar supaya mencontohi Tian Chua, jangan jadi macam seorang dua pimpinan lain itu,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*