Sedia hadapi semua kemungkinan PRU 14

SHAH ALAM- Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad menggesa Parti Amanah Negara (PAN) agar berani berhadapan dengan PAS dan tidak berselindung dengan parti-parti lain di dalam Pakatan Harapan (PH). 
 
Terdahulu, Iskandar mendakwa PAN telah menyerlahkan kecelaruan mereka apabila Ketua Penerangan PAN, Khalid Samad menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding di 40 kerusi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) termasuk yang dimiliki PKR. 
 
Berikutan itu, Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim pada Sabtu berkata PAN akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi PAS pada PRU 14 akan datang. 
 
Iskandar dalam satu kenyataan berkata, “Kami tidak ada masalah jika PAN hendak bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS atau pernah ditandingi oleh PAS,” jelas beliau.

 
Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini memberikan PAN hak untuk bertanding dengan sesiapa sahaja termasuk PAS dalam PRU 14 nanti. 
 
“Ianya adalah hak mereka di dalam sebuah negara demokrasi.
 
“Tetapi kalau betul hendak menggantikan PAS maka silakan bertanding melawan PAS. Jangan pula menyuruh parti lain berlawan dengan PAS kerana tidak berani berhadapan dengan PAS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
 
Dalam perkembangan semasa, Iskandar turut berkata jentera PAS telah bersedia menghadapi apa sahaja “landskap politik baru” dalam menghadapi kemungkinan yang berlaku.
 
Berkaitan pertandingan PRU 14 yang memungkinkan pertandingan tiga penjuru, Iskandar berkata, “Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, jentera pilihan raya PAS telah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. 
 
“Jika ada persetujuan untuk dua penjuru, PAS boleh menghormatinya,” ujarnya lagi. 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*