Mesej tersirat persaraan awal pegawai SPRM

KUALA LUMPUR- Pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merangkap bekas Pengarah Bahagian Operasi Khasnya (BOK) Dato’ Bahri Mohammad Zin,58, yang menghantar notis bagi meletakkan jawatannya telah mewujudkan persepsi buruk terhadap SPRM.
 
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini melahirkan rasa bimbang terhadap sistem pendakwaan rasuah di Malaysia yang memugkinkan terdapat mesej yang tersirat kepada rakyat dengan persoalan yang timbul berkaitan wujud campurtangan eksekutif terhadap SPRM.
 
“DPPM menggesa agar setiap dakwaan yang dikeluarkan oleh Datuk Bahri Mohamad Zain setelah bersara awal ini wajib disiasat oleh satu panel penyiasat bebas termasuklah sebuah Suruhanjaya Diraja yang benar-benar bebas dari campur tangan politik,” menurut kenyataan media ketua penerangan DPPM, Ahmad Fadhli Shaari, hari ini. 
 
Bahri dilaporkan memilih untuk bersara tiga tahun lebih awal kerana enggan bersekongkol “menipu 30 juta rakyat Malaysia” berkaitan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) yang didakwa menyelewengkan dana berniliai RM42 juta tetapi tidak boleh dibawa ke mahkamah.
 
Kenyataan media SPRM semalam bagaimanapun menafikan perletakan jawatan Bahri Mohammad disebabkan kerana kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah.
 
“SPRM telah menghubungi beliau dan Dato’ Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut,” menurut kenyataan media tersebut.
 
Menurut SPRM, permohonan yang dibuat itu selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan seseorang pegawai kerajaan yang ingin bersara awal perlu membuat permohonan sekurang-kurang enam bulan sebelum tarikh persaraan.

 
Terdahulu, serbuan SPRM terhadap tiga buah syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd pada awal Julai 2015 bagi menyiasat dakwaan bahawa tiga buah syarikat tersebut terbabit dengan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri, Dato Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak. 
 
SRC International, ditubuhkan pada 2011 untuk pelaburan strategik dalam sektor tenaga di luar negara, sebelum ini anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*