Penahanan KSU kementerian kuatkan keluhan Bahri

SHAH ALAM- Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata penangkapan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian tidak dapat mengalihkan kekecewaan bekas pengarah bahagian operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohd Zin sebaliknya perkara itu menguatkan lagi keluhan Bahri.

Tuan Ibrahim mempersoalkan mengapa SPRM tidak menggunakan pendekatan sama berhubung kes SRC Internatinal (SRC) yang melibatkan individu berprofil tinggi seperti yang dilakukan terhadap KSU yang kini disiasat atas pelbagai dakwaan, termasuk salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

 
“Malah, sebenarnya penahanan KSU berkenaan menimbulkan tanda-tanya mengapa SPRM dapat bertindak terhadap penjawat awam dengan mudah tapi tiada tindakan yang serupa ke atas kes besar seperti SRC International yang juga merupakan anak syarikat 1MDB, yang melibatkan nama-nama ahli politik berjawatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 
Beliau turut berkata polemik berkenaan telah mengundang pelbagai persoalan di minda rakyat.
 
“Antaranya, siapa yang menghalang kes SRC dan siapa pula memberikan lampu hijau kepada penahanan KSU, jikalau dakwaan Bahri itu benar? 
 
“Apakah SPRM benar-benar bebas dalam melaksanakan tugasnya?” ujar beliau.
 
Dalam perkembangan sama, Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap KSU berkenaan serta dua anak lelakinya selama tujuh hari kerana disyaki bersubahat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*